Ajaran Buddha di Kashmir

Ajaran Buddha selalu sahaja disebarkan menerusi jemputan. Tidak pernah pun ia disebarkan menerusi peperangan dan paksaan. Kashmir juga tidak terkecuali daripada menerima jemputan ini.

Ferguson memerhatikan bahawa"
"Tiada peperangan yang dicetuskan oleh penganut ajaran Buddha, ... Tiada kepercayaan yang disebarkan pada asasnya menerusi jemputan dan perbincangan seperti yang disebarkan oleh baginda Buddha, dan walaupun penganut ajaran Buddha seringkali dikejar-kejar sehingga ke tahap dimusnahkan beramai-ramai, namun tidak pernah ada sebarang cubaan dari mereka untuk menyebarkan kepercayaan mereka melalui paksaan di penjuru dunia ini." (Fergusson, "Tree and Serpent Worship", p. 63). 
Kashmir pernah berada dalam empayar Maurya. Seorang bhiksu, dikenali sebagai Majjhantiko, telah dihantar ke Kashmir dan kerajaan Gandhara oleh maharaja Ashoka selepas Sangiti Ketiga pada 253 S.M. Raja Aravālo memerintah Kashmir pada ketika itu. Baginda cuba menakutkan bhiksu tersebut, namun akhirnya baginda pun menganuti juga ajaran Buddha (Fergusson, "Tree and Serpent Worship", p. 47).  

Bangsa pertama yang diasuh kembali dengan ajaran Buddha adalah bangsa Naga dari Kashmir. Bangsa Naga merupakan salah satu daripada 14 bangsa yang pernah berada di situ. Banyak sekali imbuhan yang berasaskan perkataan naga di Kashmir seperti Anantanāga, Sheshanāga, Nilanāga, Nāgabal, Kokaranāga, Sukhanāga dan lain-lain (Gayakwad Vijay, "Kashmiratil buddha dharma cha itihas", (Marathi), Publ. by author Ulhasnagar, 1990, p. 6).

Pada zaman maharaja Ashoka juga didirikan kota Srinagar, seperti sebutan dalam Rajatarangini. Anakanda baginda, putera Jalouk menjadi raja Kashmir dan membina Biara Krutyakama di situ. Kashmir juga pernah diperintah oleh raja Milinda, yang perbincangan baginda turut direkodkan dalam "Milinda-Panha". Perbincangan baginda itu berlaku 12 yojana dari lembah Kashmir. Dua orang raja kerajaan Kushan, raja Hushka dan raja Jushka juga pernah memerintah Kashmir sebelum zaman Kanishka (ibid p. 15).

Zaman Nagarjuna dan Kanishka

Nagarjuna merupakan tulang belakang di sebalik Sangiti Keempat yang dianjurkan bawah Kanishka. Ia dipengerusikan oleh Vasumitra di Kundanvana dekat dengan Srinagar. Aliran Mahayana memulakan Sangiti mereka selepas Sangiti ini. Sastra Buddha dikumpulkan dalam Mahavibhasha.

Disebutkan bahawa"
 "Sabda-sabda yang dilontarkan oleh baginda Sakyamuni pada kehidupan baginda itu, telah didengari dan disedari oleh para Naga. Mereka mengingatinya dan terus berdiam dalam kediaman mereka sehingga sampai masa manusia nanti layak untuk menerima ajaran tersebut. Nagarjuna menyatakan bahawa dia menerima dokumen-dokumen ini dari pada Naga dan dipertanggungjawabkan untuk memperisytiharkannya kepada dunia ... " (Fergusson, "Tree and Serpent Worship", p. 65).
Sastra kemudian dititikkan pada piagam tembaga. Setengahnya mengandungi 300 ayat dan ditemui baru-baru ini. Rupa Buddha pertama pula diperbuat pada zaman pemerintahan Kanishka di Kashmir. Matawang Kanishka mengandungi rupa Buddha berdiri dengan perkataan Boddo (Vijay Gayakwad, p. 7). 

Bangsa Naga dan pengaruh ajaran Buddha tetap bertahan sehingga zaman Moghul seperti yang diberitakan kepada kita dalam "Ayeene Akbaro", bahawa semasa zaman maharaja Akbar (1556-1605), terdapat banyak sekali kuil di Kashmir. 45 daripada kuil tersebut adalah untuk Betara Siva, 65 untuk Betara Vishnu dan tiga untuk Betara Brahma. Lagi 22 untuk Durga Devi dan 700 lagi untuk Naga. Kuil-kuil tersebut berfungsi dengan upacara pada ketika itu. Maklumat ini turut disahkan oleh senibina di lembah itu sendiri (Fergusson, "Tree and Serpent Worship", p. 47). 

Jesus Christ di Kashmir

Banyak juga badan sastera yang memberi bayangan bahawa Jesus Christ pernah ke India pada usia 14 tahun. Beliau dikatakan tinggal dan belajar mengenai asas ajaran Buddha dari bhiksu-bhiksu di situ sebelum kembali ke tempat asal baginda semasa berusia 32 tahun. Kemudian baginda mengajar di negara asal baginda selama tiga tahun sebelum disalibkan. Baginda juga dikatakan terselamat dari peristiwa penyaliban tersebut dan kembali ke Kashmir. Baginda didakwa meninggal dunia di Kashmir pada usia tua. Makam baginda dikatakan ada di Kashmir (sila lihat butiran dalam, "Jesus Lived in India").

Zaman Gupta dan Zaman Huna

Semasa pemerintahan dinasti Gupta, Kashmir kekal seperti sebelumnya. Ia tidak ditakluki oleh Samudragupta dan tidak diserap dalam empayar Gupta. Huna Putih menyerang India namun mereka dihalau keluar oleh Skandagupta. Tormana dan Mihirkula dianggap sebagai bangsa Huna juga. Tormana, seorang negarawan bijaksana, mengembalikan semula khazanah bangsa Huna yang hilang dan mengasaskan kembali empayar mereka dalam masa yang singkat saja. Beliau toleran dalam hal beragama. Anak beliau, Mihirkula pula menggantikan beliau pada 515 M dan memerintah dari Sakala.  

Mihirkula mula melakukan keganasan kepada ajaran Buddha dan mengarahkan pemusnahan "semua bhiksu di lima penjuru, menggulingkan dharma Buddha dan menghapuskan segalanya". Beliau kemudian dikalahkan oleh Yashodharman mengikut rekod yang dicatatkan dalam batu bersurat Mandsore. Xuanzang menyebut bahawa raja dinasti Gupta, Baladitya mengalahkan dan menawan Mihirkula namun melepaskannya disebabkan oleh campur tangan ibunya. Mihirkula menerima suaka di Kashmir dan kemudian merampas takhta di Kashmir. Beliau mengejar penganut ajaran Buddha dan menakluki Sri Lanka untuk membalas kembali penghinaan ke atasnya. Isteri beliau memakai pakaian dari Sri Lanka dan pakaian tersebut mengandungi lambang Buddha. Mihirkula mati pada 550 M dan selepas itu empayar bangsa Huna jatuh. Empayar Huna ini menghancurkan kesatuan benua kecil India dan memecahkannya kepada beberapa kerajaan kecil. Bangsa Huna terkemudian yang masih tinggal itu dihindukan oleh para Brahmin dan diberikan kasta Rajaputra. Mereka digunakan sebagai senjata untuk melawan penganut ajaran Buddha. Penulis rencana ini percaya bahawa disinilah bermulanya sejarah Dalit. Ketika ini penganut ajaran Buddha mula menjadi lemah disebabkan oleh kezaliman bangsa Huna. Diketahui ramai juga, Dr. Ambedkar meletakkan zaman ini dalam takah masa 200-600 M.

Zaman Harshavardhana

Xuanzang dikatakan melawat Kashmir pada zaman Harshavardhana iaitu sekitar 632 M. Ketika itu ajaran Buddha bersinar di Kashmir. Sama ada Kashmir berada terus di bawah pemerintahan empayar Harsha masih lagi diperdebatkan. Namun, Dr. R.K. Mookerji berfikiran bahawa empayar Harsha mungkin memasukkan Kashmir ke dalam mandalanya sehingga memaksa raja Kashmir menyimpan sarira Buddha bersama dengan kerajaan baginda (Mahajan, "Ancient India", p. 532).

Raja-Raja Terkemudian

Selepas Mihirkula, satu lagi dinasti yang berkuasa merampas Kashmir. Lalitaditya Muktapida dari dinasti Karkota merampas Kashmir masuk ke pemerintahannya pada 724 M. Baginda menewaskan Yashovarman dari dinasti Kanouj. Jayapida atau Vinayadittya merupakan cucunda baginda yang banyak melakukan penaklukan. Istana baginda dikurniai dengan banyak cendekiawan. Konspirasi oleh kaum Brahmin menyebabkan kejatuhan baginda. Avantivarman dari dinasti Utpala (855-883 M) merupakan raja yang terkenal melindungi sastera dan kerja awam. Shankaravarman (883-902 M) merupakan kaki perang dan menjarah banyak kuil (Mahajan, "Ancient India", p. 550).

Selepas kejatuhan dinasti ini, Yashakara pula memerintah. Baginda membina biara untuk pelajar yang datang dari Aryadesa ke Kashmir. Baginda diminta oleh Parvagupta, menteri yang dilantik olehnya sendiri supaya bersemadi dan digantikan oleh Sangramdeva. Yashakara kemudian ke biara untuk bersemadi sebagai bhiksu. Di situ baginda diracun oleh Parvagupta. Parvagupta turut merampas takhta dan membunuh Sangramdeva. Anak lelaki Parvagupta, Kshemagupta berkahwin dengan Didda, puteri raja Lohara. Puteri Didda bertindak sebagai Pemangku kepada anakanda baginda, Abhimanyu selepas kematian suami baginda. Baginda memerintah dengan kuku besi.

Apabila Abhimanyu mangkat, baginda mempunyai tiga putera. Semua tiha putera itu dihapuskan satu demi satu oleh puteri Didda. Puteri Didda menaiki takhta pada 980 M. Perlantikan Tunga, bekas penjaga kuda sebagai Perdana Menteri menyebabkan para Brahmin marah. Mereka membawa anak saudara sebelah Didda dari Lohara bagi mengalahkan ibu saudaranya itu. Puteri Didda bijak sekali dan merasuah brahmin-brahmin itu dengan serasuah-rasuahnya menyebabkan mereka tidak jadi melawan baginda. Puteri Didda mangkat pada 1003 M pada usia tua dan takhta jatuh kepada Sangramraja, anak saudara baginda dari Lohara. Bermula disinilah dinasti Lohara memerintah Kashmir (D.C. Ganguli, "Age of Imperial Kanauj", p. 120).