Bangsa Naga di Kashmir

Bangsa Naga dalam Zaman Pra-Sejarah

Dinyatakan oleh pengkaji sejarah purba bahawa benua India sudah didominasi oleh kebudayaan Naga sebelum kebudayaan Harappa dan pra-Arya masuk. Benua India disebut sebagai Nagabhumi. Baginda Buddha dilahirkan pada 623 SM, dalam pemerintahan raja dinasti Naga keenam yang memerintah kerajaan Magadha, raja Ajatsatru. Kashmir ketika itu dihuni oleh bangsa Naga dan kemudiannya menganuti ajaran Buddha.  

Bangsa Naga dalam Mahabharata

Disebutkan bahawa Mahabharata mempunyai sekurang-kurangnya tiga rujukan mengikut kepada kesarjanaan Brahmana bersama dengan Gita dalamnya. Sarjana seperti Khare, seorang pelajar Gita yang tegar dari Pune, membezakan ayat-ayat Gita dari tiga pengarang dalam bukunya, "The Quest of Gita". Sarjana Barat seperti Kaegi mempercayai bahawa epik tersebut terus-terusan diinterpolasikan sehingga abad ke-13 M sampailah ke awal abad ini.   

Oleh itu, tidak menghairankan pun apabila Rhys David mendapati bahawa sukar sekali untuk menetapkan ayat-ayat tertentu dalam Mahabharata yang membincangkan mengenai kejadian dalam abad ke-17 SM, iaitu pada zaman kebangkitan baginda Buddha (Rhys Davids, p. 124). Beliau merasakan bahawa perubahan yang dibuat oleh pedanda itu, "kerana pedanda-pedanda mendapati bahawa buah fikiran itu tidak semasa dengan aliran mereka dan ia membuatkan berat pula kepada orang-orang yang mereka tak mampu untuk abaikan."

Matlamat perbuatan para pedanda tersebut adalah:
"... pada awalnya adalah untuk menekankan mengenai supremasi bangsa Brahmin, yang sudah pun terancam disebabkan oleh populariti pandangan anti-pedanda dari penganut ajaran Buddha dan lain-lain; dan keduanya untuk menunjukkan bahawa bangsa Brahmin bersimpati dan menerima kultus-kultus popular yang tertentu serta kepercayaan yang dihormati oleh orang ramai ketika itu. Dalam kebanyakan hal, dalam syair itu, kultus dan kepercayaan yang tiada dalam sastera Vedik turut ditemui dalam keadaan yang berkuasa dan penuh penghayatannya ...." (Rhys Davids, "Buddhists India", p. 214)
Mukadimah Mahabharata yang Menyumpah Bangsa Naga

Mukadimah syair epik ini dimulai dengan sumpah seranah ke atas ular. Penyair menyusun perkataan dengan penuh muslihat. Jika terlepas pandang dan dibaca dengan cuai, maka nampak bahawa sumpahan tersebut kelihatan seperti dikenakan ke atas reptilia ular dan bukannya pemuja haiwan totem tersebut. Hakikatnya, ia adalah sumpahan ke atas orang yang memuja reptilia tersebut. Dalam Adi Parva, perkataan "Naga" digunakan manakala dalam Vana Parva, pada babak Bhima ditimpa kecelakaan dengan Nahusha dalam rupa ular sebenar, perkataan "Sarpa" digunakan. (Fergusson, p. 47 fn.).

"Kisah mengenai pengorbanan besar dalam pemusnahan ular ini sebenarnya bercampur aduk dengan tindakan manusia dan fakta sejarah, sehinga nampak benar bahawa kekaburan yang terdapat pada nama itu digunakan oleh penyair Hindu sebagai alasan untuk memperkenal perubahan alam ghaib makhluk alam kepada manusia biasa ..." (Fergusson, p. 47).

Serentak dengan itu selepas daripada ayat-ayat mukadimahnya, kisah bangsa Naga pun dimulakan dengan dua orang wanita bersaudara, Kadru dan Vinata berkahwin dengan Rishi Kashyapa. Kadru, yang sulung menjadi ibu kepada 1,000 ekor Naga, yang menjadi leluhur kepada seluruh bangsa Naga. Yang terpenting dalam kalangan keturunan dari Kadru ini adalah Sesha, Vasuki, Takshaka, Karkotaka, Kaliya, Aila (Elapatra), Nila, Anila, Nahusha dan lain-lain. Yang bongsu, Vinata, menjadi ibu kepada Garuda, leluhur kepada bangsa Garuda yang bermusuhan dengan bangsa Naga.  

"Apabila dilucutkan segala busana syair dan sampah-sarap mitologi dari perkataan dan ayat itu", Fergusson percaya bahawa wira-wira Mahabharata dari Chandrawangsa itu adalah dari gerombolan kedua bangsa Arya yang merempuh masuk ke benua India, selepas 1000 tahun kemasukan Suryawangsa yang lebih asli, dari kedudukan asal mereka yang dikesan berada di utara Peshawar moden. Kawasan itu pula menunjukkan banyak kesan-kesan arca ajaran Buddha yang berpengaruh kerajaan Greco-Bactria (Fergusson, p.59). Mereka melalui wilayah Punjab dan berdiam di Hastinapura. Dalam pertembungan awal mereka dengan bangsa Naga, mereka membakar hutan Khandava untuk mendirikan ibukota kedua mereka dan menghalau keluar bangsa Naga di situ. Bangsa Naga dilindungi oleh dewata pelindung Buddha, dewa Indra. Digambarkan oleh pedanda Brahman bahawa dewa Agni menyerang bangsa Naga sehingga pupus semua mereka kecuali raja mereka, raja Takshaka (Fergusson, p. 60).

Hubungan antara Pandu dan bangsa Naga kebanyakannya adalah mesra seperti yang disaksikan oleh Arjuna. Arjuna berkahwin pertama kalinya dengan Ulupi, puteri raja Naga dari kaki gunung Himalaya, dekat dengan Hurdwar. Kemudian baginda berkahwin pula dengan Chitrangada, puteri raja Naga dari Manipur, raja Chitravahana. Arjuna dan Chitrangada mempunyai putera bernama Bhabra Vahana, yang memainkan peranan yang agak pelik semasa upacara Ashvamedha yang dijalankan oleh Arjuna. Dari hal ini dan butiran kecil lain, Fergusson merasakan bahawa, "pengarang syair itu ingin mempersembahkan mengenai hubungan baik antara bangsa Arya ketika itu dengan orang asli" (Fergusson, p. 60).

Pertelingkahan antara bangsa Arya dan bangsa Naga bermula apabila Parikshit menghina seorang ajar-ajar dengan menggantung bangkai seekor ular pada lehernya. Anak lelaki ajar-ajar tersebut menyeru raja Takshaka, yang diwakili oleh raja kerajaan Takshila. Takshaka kemudian mematuk Parikshit sehingga mati bagi membalas penghinaan tersebut. Lantaran itu, Janamejaya memulakan pengorbanan agung dengan pemusnahan bangsa Naga bagi membalas dendam pembunuhan ayandanya. Beribu-ribu dimusnahkan sehinggalah pembunuhan tersebut dihentikan oleh Astika, seorang Brahman yang dihantar oleh raja Vasuki, raja bangsa Naga di sebelah Timur (Fergusson, p. 60).   

Tapak pengorbanan bangsa Naga yang dijalankan oleh Janamejaya itu kononnya berada di Kurukshetra. Tapi kemungkinan besar, tapak tersebut terletak di Agrahaut di wilayah Orissa (Kalinga). Di sini, tradisi Mahabharata itu dipelihara oleh rupa-rupa raja, yang tidak dapat hadir di upacara itu. Pemujaan ular juga masih banyak di rantau itu (Fergusson, p. 61).

Raja-Raja Naga di Kashmir

Kashmir seringkali dianggap sebagai Nagabhumi. Fergusson menyebutkan bahawa satu abad sebelum Masihi, raja Damodara, menurut kepada teks Rajatarangini, disumpah menjadi seekor ular kerana menyinggung beberapa orang Brahman, dan juga turut menyebut mengenai raja-raja Naga lain (Fergusson, "Tree and Serpent Worship", p. 45). Apabila Xuanzang masuk ke Lembah Kashmir, kawasan itu berada di bawah pemerintahan raja Baladitya. Ajaran Buddha pesat berkembang di situ walaupun raja itu tegas menentang ajaran Buddha. Xuanzang mengulangi kisah biasa bahawa lembah tersebut asalnya adalah tasik di masa lampau, namun menambah bahawa 50 tahun selepas baginda Buddha mencapai Nirvana, seorang anak murid baginda, Ananda mengajarkan ajaran Buddha kepada raja Naga yang mengeringkan lembah tersebut lalu membina 500 biara serta menjemput bhikkhu-bhikkhu Buddha untuk tinggal di situ bersama mereka (Fergusson, "Tree and Serpent Worship", p. 46).